Mereka turut menggunakan senjata dalam pergaduhan itu mengakibatkan nyawa kedua-duanya melayang, meskipun sebelum itu penduduk kampung menasihatkan mereka supaya tidak menyabung ayam kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.
Bagaimanapun, kedua-duanya ingin menunjukkan kebolehan dan kehebatan ayam sabung masing-masing, menyebabkan mereka terus berdegil untuk meneruskan pertarungan.
Menurut cerita orang tua-tua, difahamkan si abang yang malu dan tidak tahan diejek penduduk selepas kalah kepada adiknya, menghunus keris lalu bergaduh dengan darah dagingnya.
Kedua-duanya terbunuh dan penduduk kampung terkejut bercampur kesal kerana tidak menyangka perlawanan sabung ayam itu berakhir dengan pertumpahan darah.
Si adik dikebumikan tidak jauh dari tempat menyabung ayam itu, manakala abangnya dikebumikan kira-kira empat kilometer dari situ.
Namun, peristiwa tragis itu tidak berkesudahan di situ kerana berlaku kejadian aneh iaitu saiz kubur si adik tiba-tiba menjadi panjang hingga mencecah 8.5 meter, beberapa hari kemudian.
Kejadian itu menyebabkan kubur berkenaan menjadi tumpuan ramai hingga tempat itu dikenali sebagai Kubur Panjang yang terkenal hingga ke hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bukit Pak Pom, Othman Latif, 65, berkata kejadian ‘abang bunuh adik’ itu dipercayai berlaku 300 tahun lalu.
Menurutnya, melalui cerita datuk neneknya, dua beradik terbabit tidak pernah berselisih faham sebelum itu.
Katanya, menyabung ayam menjadi kegemaran penduduk ketika itu, malah setiap kali diadakan pasti mendapat sambutan menggalakkan dan suasananya bagaikan pesta.
“Kedua-dua beradik memiliki ayam sabung yang kuat dan tidak pernah kalah.
Apabila dua beradik itu menyuarakan hasrat bertanding sesama sendiri, ia tidak disenangi rakan mereka kerana dikhuatiri berlaku perkara tidak baik.
“Disebabkan semua lawan mereka sudah ditewaskan, dua beradik itu akhirnya berlawan sesama sendiri dengan syarat yang menang tidak boleh menyorak yang kalah,” katanya.
Katanya, selepas bersetuju dengan syarat itu, pertandingan dimulakan hingga sehari suntuk, dan akhirnya ayam sabung si adik berjaya mengalahkan ayam sabung milik abangnya.
“Disebabkan terlalu gembira, si adik terlupa perjanjian lalu dia bersama pengikutnya dan penduduk bersorak, menyebabkan abangnya malu dan berlaku pertengkaran yang mencetuskan pergaduhan.
“Si abang berjaya menikam adik hingga mati tetapi si adik dikatakan sempat menikam abangnya yang turut mati tidak lama kemudian.
“Si adik dikebumikan tidak jauh dari gelanggang sabung ayam manakala abangnya mati dalam perjalanan pulang dan dikebumikan di Kampung Pulau Keramat, empat kilometer dari kubur adiknya,” katanya.
Othman berkata, berlaku keajaiban beberapa hari kemudian apabila kubur si adik menjadi panjang hingga mencecah 8.5 meter, namun tidak diketahui bagaimana ia berlaku.
Penduduk, Zainon Senapi, 58, berkata ada 10 kampung di sekitar Kubur Panjang iaitu Kampung Lubuk Batu, Kampung Kubang Pisang, Kampung Bukit Pak Pom, Kampung Perupuk, Kampung Bukit Berangan, Kampung Huma, Kampung Ga, Kampung Senara, Kampung Bukit Lalang dan Kampung Bukit Chengal.
“Jumlah penduduk pula kira-kira 5,000 orang merangkumi kaum Melayu, Cina, India dan Siam dengan sebahagian besar mampu berbahasa Siam, malah ada yang menggunakan bahasa Siam dalam perbualan harian mereka, termasuk di rumah,” katanya.
Zainon berkata, pada musim buah, Kubur Panjang antara kawasan tumpuan peraih buah-buahan kerana buah-buahannya, terutama durian, adalah yang terbaik.
“Satu lagi keanehan kubur panjang itu ialah jika disukat ukurannya tidak pernah sama. Hari ini mungkin 8.5 meter, tetapi keesokannya jika disukat sekali lagi ia menjadi kurang atau lebih panjang,” katanya.-myMetro-
This comment has been removed by the author.
ReplyDeletengol.! sengal punyer citer..
ReplyDelete